Monday, September 01, 2008

Sambutan Hari Kemerdekaan... (31Ogos 2008)

Pada hari sabtu yang lepas, saya dan rakan-rakan pergi ke Dataran Merdeka. Kami pergi ke sana untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51 Malaysia. Perjalanan kami agak panjang disebabkan kesesakan lalu lintas yang berlaku sepanjang jalan menuju ke Dataran Merdeka. Syahmi, Man, Lah, Lynn, Fairuz, dan saya amat teruja apabila berada disitu pada seawal pukul 9:30 malam. Setibanya kami disitu, kami agak terkejut kerana terlalu ramai pendatang tanpa izin, seolah-olah mereka pula penduduk asal negara ini.

Suasana di situ amat meriah dengan orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke Dataran Merdeka untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang hanya diadakan sekali setahun sahaja. Bermacam-macam ragam yang kami nampak, ada yang berpakaian bendera Malaysia satu keluarga. Kami sempat mengambil gambar bersama-sama mereka disebabkan keunikan pakaian mereka.

Pelbagai persembahan diadakan pada malam itu. Persembahan yang diadakan lebih tertumpu kepada seni kebudayaan di setiap negeri di seluruh Malaysia, persembahan dari artis-artis tempatan juga turut dipersembahkan, antara artis yang terlibat ialah M. Daud Kilau, Noryn Aziz, Meet Uncle Hussain, Dayang Nurfaezah dan lain-lain lagi.

Cuaca pada malam itu agak tidak menentu, kami beramai-ramai mencari tempat berteduh disebabkan hujan. Dataran pada malam itu amat sesak dengan orang ramai yang datang dari seluruh serta ceruk dunia. Ramai yang mencari tempat untuk berteduh. Semasa kami menunggu hujan reda, kawan karib kami Zara dan teman lelakinya datang berjumpa kami. Mereka datang dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Selepas hujan reda, kami beramai-ramai menuju ke dataran semula untuk melihat persembahan yang akan berlangsung nanti. Ramai tetamu kehormat datang terutama menteri-menteri yang terlibat. Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi turut memeriahkan sambutan hari kemerdekaan bersama-sama rakyat Malaysia.

Detik 12 tengah malam semakin tiba, kami semua berdebar-debar menanti detik itu. Jam 12 tengah malam, laungan merdeka dilaungkan beramai-ramai oleh semua rakyat Malaysia. Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku dinyanyikan beramai-ramai oleh seluruh rakyat Malaysia yang berada di situ. Lagu tema hari kebangsaan turut diputarkan. Selesai menyanyikan lagu kebangsaan, persembahan bunga api dipersembahkan. Kami begitu teruja lagi kagum dengan percikan bunga api yang bercahaya di langit. Dentuman demi dentuman kedengaran memeriahkan lagi sambutan pada malam itu. Persembahan bunga api berlangsung selama setengah jam.

Selesai menyambut hari kemerdekaan, kami bertolak ke Pasar Larut Malam Danau Kota. Perjalanan agak jauh disebabkan oleh jurupandu kami Syahmi sering kali memasuki jalan yang salah dan ini memeningkan pemandu kami, Suherman. Lebih kurang sejam kami berlegar-legar di Kuala Lumpur akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju dalam pukul 2 pagi. Kami berada di situ lebih dari 1 jam. Man dan Lah hanya membeli topi, manakala saya hanya memerhati disebabkan kekurangan wang untuk berbelanja.

Setelah selesai membeli-belah, kami pun menuju pulang. Menghala pulang kami singgah di Bukit Permai untuk melihat bandaraya Kuala Lumpur dari puncak bukit, sungguh indah pemandangan Kuala Lumpur dari atas. Jam hampir menunjukkan pukul 6 pagi, kami pun beramai-ramai menuju pulang. Kami tiba d Puncak Perdana dalam pukul 7 pagi.

p/s: gambar dan video insyaallah akan diupload tidak lama lagi....

3 comments:

Anonymous said...

ni kalo tunjuk kat cekgu BM aku bleh dapat 95 markah nih...
karangan bertajuk "pengalaman malam merdeka ku" hehehe

Radius.F said...

bila masa lu orang semayang subuh?
tak merdeka langsung

Anonymous said...

TERIMA KASIH SEBAB BAGI RUJUKAN...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails